Search

Berat mata memandang, Berat lagi bahu yang memikul

Updated: Sep 10, 2021

Peribahasa di atas amat sinonim dengan keperitan hidup golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Kita semua dapat melihat dengan mata kasar dengan kesusahan yang mereka hadapi, namun mungkin kesusahan itu tidak ditonjolkan sepenuhnya oleh golongan ini demi menjalani kehidupan seharian mereka.


Awal bulan Jun yang lalu, Suakasih sekali lagi mejalankan program Taja Makan bersama para pelajar di Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur. Sebanyak 20 orang pelajar dipilih oleh pihak PIBG & guru sekolah tersebut untuk menerima sumbangan ini. Akibat musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta kes Covid-19 yang semakin meningkat, sumbangan TAJA MAKAN kali ini diedarkan secara rumah ke rumah dengan pematuhan SOP yang amat ketat.


Sepanjang program Taja Makan bersama SK Convent Bukit Nenas ini berlangsung, terdapat beberapa kisah-kisah yang menyayat hati kami. Antaranya adalah kisah seorang bapa yang terpaksa menghantar isteri dan anak-anak ke kampung halaman kerana kesempitan wang. Lebih menyedihkan apabila kami dimaklumkan bahawa bapa tersebut hanya menggunakan keretanya untuk berteduh kerana tidak lagi mampu untuk mebayar sewa rumah. Selain itu, terdapat seorang pelajar yatim piatu yang kini tinggal bersama ibu saudara terpaksa membantu menjual kek batik di sekolah demi kelangsungan hidup mereka.


Setiap sumbangan anda bermakna dan pihak Suakasih sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sama-sama menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada pelajar yang memerlukan ini. Projek Taja Makan akan diteruskan lagi dengan beberapa buah sekolah di sekitar Lembah Klang. Jom SUAKASIH bersama kami.


Setiap bantuan/derma amatlah dihargai. Ianya boleh dibuat secara perbankan atas talian ke Akaun Maybank Suakasih 5648-9214-4633 atau layari laman web rasmi Suakasih di www.suakasih.org

#sekecilsumbanganseluasbantuan #givealittlehelpalot #suakasihbersama



35 views0 comments

Recent Posts

See All