Pertubuhan Kebajikan Suakasih dan sekumpulan sukarelawan daripada syarikat Big Dataworks berkesempatan menghulurkan bantuan kepada pelajar-pelajar sekitar Taman Melati sebelum penguatkuasaan PKP 3.0 peringkat negara dilaksanakan pada awal bulan Mei ini.
Selaras dengan visi dan misi Suakasih yang bertujuan menghulurkan bantuan kepada golongan yang tersasar, kanak-kanak dan isirumah daripada kumpulan miskin bandar, pada awal bulan Mei, kami berkunjung ke dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Melati dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melati. Kedua-dua buah sekolah ini telah menyambut baik kedatangan pihak Suakasih untuk menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar yang terpilih. Hasil kerjasama dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta guru-guru sekolah tersebut telah dapat mengukir senyuman di wajah para penerima bantuan.
"Dapatlah saya dan anak-anak menyambut hari raya dengan lebih ceria pada tahun ini. Terima kasih kepada pihak yang membantu", kata waris kepada seorang pelajar.
Pihak Suakasih telah menyampaikan pek makanan yang berisi pelbagai barangan asas keperluan seperti gula, tepung, susu dan lain-lain lagi. Para penerima sumbangan juga mendapat duit raya bagi menampung perbelanjaan anak-anak mereka. Program yang berlangsung dari jam 1 tengahari hingga 3 petang ini amat memberi impak positif kepada team Suakasih juga pihak sekolah tersebut. Selain itu, tidak dilupakan juga kepada para penerima sumbangan, kelihatan jelas terpancar riak wajah gembira mereka setelah menerima sumbangan ini. Dengan kejayaan projek sulung Suakasih, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada insan yang sama-sama menderma kepada golongan yang memerlukan. Kami di Suakasih berhasrat agar orang ramai turut serta dalam mengubah masa depan golongan miskin bandar ini terutamanya kanak-kanak yang masih di bangku sekolah.
Sebarang bantuan/derma boleh dibuat secara perbankan atas talian ke Akaun Maybank Suakasih 5648-9214-4633 atau layari laman web rasmi Suakasih di www.suakasih.org.
JOM SUAKASIH BERSAMA KAMI!
Comments